Saturday, January 21, 2012

Harapanku: Sebuah Nukilan Puitis

Aku berharap,
Ketika sang mentari memancar indah,
agar hatiku tidak di selubungi gundah.

Aku berharap,
Tatkala melangkah ke hadapan,
ada disisi ku seorang rakan,
yang mampu memberi jawapan,
pada makna yang tersimpan

Aku berharap,
Agar ungkapan doa-doaku
di sulam keikhlasan hati
sampai di 'Arasy yang tinggi
tanpa di cemari dosa-dosa laluku

Aku berharap,
Ketika kesunyian menggamit,
ada tangan yang menghulur,
ada mulut berbicara,
"kamu tidak berseorangan!"

Aku berharap,
hari-hariku sentiasa di selubungi irama indah
di tenun untaian kata
yang menggembirakan jiwa

Aku berharap,
kesedihan
ujian
kegembiraan
kesunyian
tekanan
hanya sekadar batu batuan
ketika cuba menanam pasak
dalam kehidupan ini

Memoir Seni Orator: dari 12 tahun lalu

Buat kali keduanya saya telah terpilih untuk mewakili Universiti Malaysia Sarawak sebagai calon mewakili Malaysia ke Pertandingan Pidato Antarabangsa Piala PM. Tahun lepas merupakan kali pertama mewakili UNIMAS, yang saya kira merupakan suatu pengalaman yang agak berharga dalam bidang seni orator ini.


Bercerita mengenai seni orator, mengimbau kisah kira-kira 12 tahun (tahun 2000) yang lepas tatkala pertama kali berdiri di pentas mewakili sekolah pada ketika itu (darjah 3 di SK Abg Abd Rahman). Saya telah terpilih untuk mewakili sekolah untuk pertandingan bercerita, yang mana telah membawa saya sehingga ke peringkat Negeri (di Sarikei). Saya memilih untuk menceritakan kisah tradisional 'Pak Pandir', kerana bagi saya penyampaiannya yang santai serta penuh humor yang kadangkala agak satirikal dalam penyampaian pengajaran ceritanya. 


Tatkala itu, tiada lagi istilah 'toleh ke belakang'. Selesai pertandingan bercerita, saya terlibat pula dalam pidato Bahasa Melayu, bercerita (Bahasa Inggeris), 'choral speaking' (pengucapan berangkai? terjemahan kalau tidak silap..), malahan dalam pertandingan peringkat dalam sekolah juga tidak berkecuali. Selain seni orator, saya juga berkesempatan menyertai koir dan boria ketika masih di bangku sekolah rendah. 


Kemudian, perjalanan di teruskan. Umpama kereta yang di masukan gear 5, saya meneruskan kecintaan dalam seni orator di sekolah menengah pula. Apatah lagi dengan status "SMK Agama" sekolah saya itu, saya menyertai pula pertandingan syarahan agama dari tingkatan 1 hingga ke tingkatan 5. Selain bergerak aktif dalam pementasan drama, sketsa, puisi, teater baik dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris. Pada tahun 2007 pula, saya melangkah ke arena perdebatan. Pertandingan debat yang di sertai termasuklah Piala Ketua Menteri Sarawak serta Debat ala Parlimen. 


Saya kira mungkin tatkala menjejak ke menara gading, seni debat dan pidato ini cuma sekadar sebagai minat semata-mata. Namun, ternyata kecintaan saya pada seni ini kian membuak-buak. Penyertaan di peringkat universiti telah banyak membuka minda saya betapa kemahiran berbicara serta meyakinkan khalayak itu merupakan satu anugerah. Bermula dari Debat Keamanan, kemudian berterusan menyertai setiap pertandingan sepanjang tahun pertama bergelar mahasiswa.


Bagi saya, seni orator ini bagaikan sudah terpasak dalam jiwa. Sukar untuk melangkah pergi ketika mana sudah di peluk erat dengan kecintaan pada seni ini. Perjuangan untuk mempertahankan kesenian ini agak berat, apatah lagi dalam suasana kampus sekarang. Tatkala mahasiswa lebih memilih untuk menekankan soal pelajaran, mahu mencapai 4.00 dan sebagainya, mereka seolah-olah lupa, adakah suatu hari kelak pencapaian hidup itu cuma sekadar di nilai dari berapa banyak A pada sijil? ataupun setinggi mana Purata Gred Nilai Kumulatif? itu terserah. Bagi saya, alam universiti cuma sekali. Alam persekolahan cuma sekali. Namun, sekali seumur hidup itu lah yang bakal menentukan siapa diri kita pada masa hadapan kelak. Sama ada, kenangan yang kita tinggalkan di belakang itu mampu mengukirkan seribu kemanisan, ataupun tidak.

P/s: Sedang dalam persiapan menghadapi pemilihan wakil Pemidato Malaysia bagi Pertandingan Pidato Antarabangsa Piala PM 2012..mohon doa dan kata2 semangat dari semua. :)

Friday, January 20, 2012

Cuti dan Mahasiswa: Tamatnya Semester 1 2011/2012


Tanggal 18/12 yang lepas merupakan titik penamat bagi semester 1 2011/2012. Kertas yang terakhir yang di perjuangkan ialah Sistematik Haiwan (Animal Sistematik). Kehadiran kertas terakhir ini merupakan penamat bagi minggu peperiksaan akhir semester 1 (ataupun semester 3 jika di ukur dr segi tahun). Alhamdulillah sebelum ini kertas peperiksaan yang lainya tidak memberikan banyak masalah. Sudah tentu dari segi menjawabnya memerlukan sedikit kerahan tenaga dan otak,apatah lagi subjek yang di perjuangkan semester ini agak berat dr segi pembelajaran dan pemahaman. Perjuangan bermula kira – kira 2 minggu lepas,dengan di mulakan kertas Invertebrata Marin dan Air Tawar, diikuti Ekologi Lapangan, Populasi Ekologi Haiwan,Nutrisi Haiwan,Fisiologi Haiwan dan terakhir Sistematik Haiwan.


Kehadiran serta pemergian kertas peperiksaan terakhir menandakan pengakhiran serta penutup bagi setiap semester. Jika di tanya mengenai semester – semester yang lepas,boleh saya katakan,semester ini adalah antara yang menarik dalam sepanjwng tempoh tersebut. Pengalaman demi pengalaman ibarat cikgu buat saya,mendidik secara halus jiwa serta minda. Tambahan,semester ini merupakan pengalaman pertama saya bergelar “senior” buat adik – adik tahun pertama. Tidak di nafikan,tatkala bergelar seorang “senior” memberikan sedikit rasa tanggungjawab dalam diri sendiri. Melihatkan adik-adik tahun pertama,teringat saya ketika turut bergelar pelajar tahun pertama tahun lepas. Terubat rindu melihat betapa kuatnya semangat persahabatan yang di ikat oleh mereka,padahal mungkin baru berkenalan di kampus ini.


Pada semester ini juga,dari segi pembelajarannya memang agak mencabar. Di tambah lagi pelbagai masalah lain baik yang peribadi mahupun yang professional. Kesibukan menyertai pertandingan pidato dan debat turut juga menambah asam garam dalam kehidupan bergelar mahasiswa. Tidak di nafikan,tatkala melangkah ke tahun ke 2, sedikit sebanyak perhubungan persahabatan ada terjejas dek kerana kesibukan diri masing-masing menguruskan hal peribadi. Jika di ukur dari semasa tahun 1 yang lepas,kebanyakan masa di luangkan bersama rakan-rakan, bergelak ketawa serta riang ria bersama. Itulah salah satu hal yang nampak perubahannya berbanding semester lepas.


Semester 3 sudah berlalu. Meninggalkan seribu kenangan,baik yang pahit yang sukar di telan,mahupun yang manis yang menjadi hiasan. Mungkin segala yang telah tertulis sudah berlalu,moga-moga ianya tidak meninggalkan parut yang hodoh,sukar di ubati serta dalam kesannya. Moga -moga kenangan manis pula menjadi penambah perisa dalam kehidupan,sehingga ianya mampu mengukirkan senyuman tatkala terkenang.=)


SELAMAT TINGGAL SEMESTER 3. AKAN BAKAL MERINDUIMU.


P/s: Selamat datang Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu, Debat Piala Di-Raja dan Debat Keamanan ASEAN..